Monday, June 24, 2013

belajar gitar cara moden

Belajar gitar secara moden


MUZIK merupakan satu cabang seni yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan terutamanya golongan remaja.
Meskipun sedap didengar dan mudah dihayati, namun bukan mudah untuk memainkan alat muzik itu bagi menghasilkan alunan yang boleh mendamaikan jiwa seseorang.
Setiap individu yang ingin menguasai sesebuah alat muzik perlu menjalani latihan berterusan dan lebih baik jika mengikuti latihan formal di bawah bimbingan pemuzik profesional.
Antara peralatan muzik yang paling popular untuk dijadikan asas memahirkan diri dalam bidang itu adalah gitar.
Selain mudah diperoleh, latihan bermain gitar boleh dilakukan secara santai dan hanya berpandukan kawan.
Namun bagi mereka yang ingin mengikuti latihan bermain gitar dengan lebih tersusun tetapi malas atau malu mengikuti kelas, bolehlah mencuba gajet gTar yang dibangunkan oleh Incident.
Gajet ini memberikan pelbagai kemudahan kepada mereka yang mahu bermain gitar dengan lebih mudah dan menghiburkan.
Reka bentuk seakan gitar sebenarnya memberikan pengalaman menarik kepada pemain bagi merasai sendiri keunikan gitar.
Gitar pintar yang menyediakan lampu LED di fred itu akan memberitahu pemain di mana tempat sepatutnya tali itu ditekan mengikut nota-nota muzik yang disediakan.
Ini secara tidak langsung memberikan kemudahan dan tunjuk ajar kepada pemain untuk mengenali nota-nota muzik dengan lebih baik.
Gitar ini juga dilengkapi dengan tali bagi membolehkan pemain bermain gitar sebenar selepas belajar dengan gTar.
Namun kamu tidak perlu risau jika tali itu tidak mengikut kedudukan sebenar kerana sistem gTar adalah secara elektronik.
Ia turut dilengkapi sensor di bahagian pemetik tali untuk mengetahui bahagian mana yang dipetik walaupun pergerakan dan petikan tali perlahan.
Lebih menarik, gTar ini sebenarnya perlu dimainkan dengan aplikasi yang dibangunkan untuk telefon pintar iPhone.
Melalui aplikasi ini, pemain dapat memainkan lagu-lagu yang diminati dengan lebih mudah dan pantas serta boleh memilih sama ada mahu bermain secara akustik atau elektrik.
Mereka yang mahu belajar dan bermain gitar, bolehlah dapatkan gajet ini pada harga RM1,250. - AMIRUL